- Gambar Martin hiasan
Kolonialisme secara etimologi berasal daripada Bahasa Latin
– colonia yang membawa maksud tanah
atau tanah pemukiman atau tanah jajahan. Kolonialisme adalah produk daripada
imperialisme. Kita sedia maklum bahawa tanah air kita adalah negara pasca
kolonial – negara yang pernah dijajah oleh negara imperial yang lain. Pelbagai
faktor yang menyebabkan Malaysia dijajah, antara yang paling terkenal menurut
buku teks sejarah yang boleh didapati di kedai buku sekolah atau pinjam dari
bilik SPBT adalah kedudukan yang strategik Malaysia dan perdagangan. Tidak
boleh untuk kita menafikan dua faktor penting ini dalam membincangkan sebab
negara-negara imperial menjajah tanah Melayu satu masa dahulu. Dalam perbincangan
mengenai kolonial, tema atau teori yang terkenal dibincangkan adalah teori
pasca kolonialisme. Pasca kolonialisme membincangkan tentang keadaan semasa
kolonialis menduduki sesebuah negara dan efek selepasnya.
Imperialis yang datang menjajah amat faham tentang
kepentingan ilmu. Bagi mereka, ilmu pengetahuan adalah kuasa. Edward Said
menyatakan, imperialis yang menjajah memahami dan mengkaji secara mendalam
adat, agama, kebiasaan, bahasa dan peradaban satu-satu bangsa atau kaum yang
ingin dijajah. Dengan menguasai ilmu pengetahuan tentang bangsa tersebut,
imperialis itu akan mempunyai kekuatan untuk menguasai bangsa peribumi yang
akan dikolonisasi – menggunakan pengetahuan untuk menguasai peribumi bagi
jangka masa panjang (aku menekankan pengetahuan dalam artikel ini, justeru
faktor penting lain seperti kekuatan militari, kepentingan penguasaan dari
sudut geostrategik dan geopolitik tidak dibincangkan). Imperialis barat menggambarkan
bagaimana peribumi atau bangsa terjajah itu berkelakuan dalam peradaban mereka.
Contoh menarik adalah peralihan lokasi Rosetta
stone yang asalnya ditemui di Mesir oleh tentera Napoleon pada Julai 1799.
Batu tersebut yang pada asalnya milik Perancis (Perancis kalah kepada British
ketika itu) mengandungi hieroglyphic text
Mesir kuno. Peralihan batu ini ke King’s
Library of the British Museum menandakan permulaan penterjemahan dan
pengkajian tentang ilmu-ilmu yang berkaitan timur tengah dan peradabannya.
Prof Syed Hussein Alatas (SHA) dalam bukunya Mitos Peribumi
Malas (MPM) membincangkan tentang kolonialisme yang berlaku keatas tanah jawa,
melayu dan Filipina. SHA menerangkan dengan panjang dan teliti tentang perkara
ini didalam MPM. Bagaimana intelektual imperialis ketika itu menggambarkan yang
peribumi di tanah jawa, melayu dan Filipina adalah bangsa yang malas. Antaranya
mereka menyatakan yang peribumi ini menjadi malas kerana iklim suasana tropika
yang panas justeru menyebabkan mereka menjadi malas untuk bekerja. Walhal
hakikat disebaliknya adalah kerana ketidak mahuan peribumi ketika itu untuk tunduk
melakukan kerja memberi hasil kepada imperialis yang kapitalis secara buta-buta
sahaja! Contoh pemberontakan bersifat halus yang berlaku di tanah jawa ketika
itu ialah bermalas-malasan dalam mengerjakan hasil bumi, lalu sarjana
imperialis belanda yang menjajah tanah jawa merangka satu sistem paksaan yang
menggariskan buruh paksa, tanaman paksa dan jualan paksa di bawah satu sistem
yang dipanggil Vereenigde Oost Indische
Compagnie (VOC). Sistem ini dengan rakus memaksa peribumi ketika itu untuk
bekerja keras bagi meneruskan kehidupan atau akan diambil tindakan samada
seksaan, pemerasan makanan atau pemindahan ke satu tempat lain atau buang
daerah (deportation ini kebiasaannya
berlaku kepada golongan ketiga dari sudut strata kolonialisme. Menurut Gayatri
Spivak, golongan pertama adalah dominant
foreign groups, yakni golongan yang paling berkuasa. Golongan kedua berkasa
adalah dominant indigenous groups
nationally, ketiga adalah dominant
indigenous groups locally dan yang terakhir adalah subaltern, yakni masyarakat biasa yang tiada kuasa). Peranan
sarjana imperialis ini adalah penting dalam memastikan kuasa mereka sentiasa
berada dalam zon selamat. Namun tidak semua sarjana imperialis ketika itu
mempunyai pandangan yang sama. Berlaku pertembungan pendapat antara golongan Liberal dan Conservative ketika itu dengan melihat golongan liberal tidak
bersetuju dengan pemaksaan ke atas peribumi.
Bacaan lanjut:
- Mitos Peribumi Malas - Syed Hussein AlAtas
- Resisting Colonialist Discourse - Zawiah Yahya
- Orientalism - Edward Said
- Can the Subaltern Speak? - Gayatri Spivak
